...Welcome To My Page... :::Thanks For Viewing Ya! :) :::

8 Mac 2011

Budi Bahasa Budaya Kita

Budi diberi erti oleh Kamus Dewan sebagai; 1. Akal, kebijaksanaan; 2. perangai akhlak, watak, sifat baik, perbuatan baik, kebajikan – merasa berterima kasih terhadap kebaikan orang – tidak lupa akan kebaikan orang; 4. Bicara, daya upaya, adat istiadat, tingkah laku, akal, perangai, tabiat. Berbudi bermakna; 1. Berakal, bijaksana; 2. Berkelakuan baik, baik akhlaknya, sopan; 3.baik hati, pemurah.
Berdasarkan kepada makna yang diberikan oleh Kamus Dewan itu wajarlah apa-apa yang sedang terjadi dan dilaksanakan oleh pemerintah masa kini dengan Kempen Budi Bahasa yang begitu meluas. Pelbagai poster dan iklan, dalam pelbagai media – elektronik mahupun cetak – yang memaparkan slogan kempen Budi Bahasa Budaya Kita.
Memang hal yang seperti itu tidak mudah mencapai matlamatnya, namun dengan kempen yang seperti itu dan dilaksanakan secara terus menerus setidak-tidaknya menunjukkan masih ada manusia mahupun kumpulan dalam masyarakat kita yang melihat bahawa gejala buruk, dalam apapun bentuknya yang terjadi dalam masyarakat kita adalah berpunca daripada ketiadaan budi, berpunca daripada ketiadaan akal, ketiadaan kebijaksanaan, menularnya perangai-perangai dan tabiat yang buruk.
Dalam perbendaharaan Melayu ada banyak frasa mahupun kata-kata yang mendukung hidup berbudi seperti misalnya “orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa.” Ataupun “Yang kurik kundi, (kundi itu sejenis buah semacam buah saga tetapi kurik, ataupun berbelang-belang, banyak yang tak tahu menulisnya sebagai “kendi”) yang merah saga, yang baik budi, yang indah bahasa” Dalam sebuah pantun budi yang amat tinggi mutunya telah diperturunkan oleh pujangga Melayu tak bernama: Pisang emas di bawa belayar, masak sebiji di atas peti; Hutang emas boleh dibayar,hutang budi dibawa mati
Begitulah penting dan besarnya makna dan hakikat budi dalam hidup individu, kumpulan dan masyarakat Melayu. Dilihat dalam aspek lain ia selari pula dengan pegangan pentingnya akhlak dalam kehidupan kita sebagaimana yang diajarkan oleh Nabi Muhammad s.a.w.
Apakah sifat-sifat tak berbudi atau sifat-safat tercela mereka yang hidup tidak berbudi itu? 
Antara lain dapat senaraikan di sini ialah bodoh, amarah, dendam, iri hati, kikir, sombong, angkuh, congkak, suka berkhayal atau panjang angan-angan, suka mempamerkan diri (dalam semua aspek kehidupan), cinta pangkat dan kekuasaan, banyak bercakap, senda gurau yang melampau, besar mulut, dan penuh kesombongan, merosak hubungan nmasyarakat, suka mencampuri urusan orang lain, tamak.
Lawan sifat keji mereka yang tak berbudi itu ialah sifat-sifat terpuji mereka yang berbudi atau yang hidup dikawal oleh budi. Antara lain adalah cintakan ilmu pengetahuan, sabar, suci batinnya, murah hati, lembut hati, tabah, bersyukur, hidupnya sederhana, cinta, rindu, bersahaja, ridha, ikhlas, jujur, waspada, sentiasa meneliti diri sendiri (muhasabah diri), peduli, kasih sayang sesama makhluk, bijaksana, terbuka, menjadi panasihat yang baik dan bicara yang bermanfaat, memiliki hati yang lembut dan akhlak yang baik, bertafakur, bertawakal, mencintai dan membenci sesuatu hanya kerana Allah s.w.t.
Rupa orang yang dalam keadan marah sangatlah buruk namun keadaan jiwanya lebih buruk lagi. Marah muncul sebagai peragai tercela yang disebabkan oleh naiknya darah dalam hati ketika ia ingin menuntut balas. Lawan marah atau amarah ialah sabar. Untuk melawan amarah, orang yang sedang marah itu hendaklah melatih dirinya semenjak awal lagi, sehingga hasilnya apabila muncul nafsu tersebut ia mudah ditakluki oleh akal.
Sifat tak berbudi atau sifat budi buruk yang lain ialah dengki. Dengki ialah perasaan tidak senang yang muncul ketika melihat orang lain mendapat sesuatu nikmat dan malah ia ingin nikmat itu hilang daripada orang yang mendapatnya. Dengki sebenarnya muncul apabila didorong oleh rasa dendam (hiqd), satu lagi sifat jijik kerana ia menutup diri, merosak hubungan dan mencampuri urusan peribadi orang lain.
Tidak kurang hebatnya ialah sifat kikir (bukhl). Allah Swt berfirman (Maksudnya): “ Dan sesiapa yang dipelihara daripada kekikiran dirinya, mereka itulah orang-orang yang beruntung.” (Surah al-Hasyr[59]:9). Berlawanan dengan sifat kikir yang bermastautin dalam rumah orang-orang yang tak berbudi ialah kedermawanan, iaitu memberikan kepada orang lain apa-apa yang melebihi daripada keperluan sendiri, sifat yang mementingkan orang lainh (itsar)adalah lebih baik kerana itu adalah darjat tertinggi dermawan.
Congkak (‘ujd) juga bahagian daripada rumah orang yang tak berbudi. Congkak adalah sejenis sifat tinggi hati yang muncul dalam diri seseorang apabila dia membayangkan dirinyalah yang sempurna,, baik pengetahuan mahupun perilakunya. Hidup bersama sifat congkak ialah sifat terpedaya (ghurur) iaitu suatu sikap yang meyakini sesuatu yang bertentangan dengan kenyatan dan jiwanya menerima terhadap apapun yang bersifat khayal dan samar-samar serta menurut hawa nafsunya sendiri. Ada banyak orang yang ditawan nafsu ini seperti misalnya berpakaian seperti orang salih atau alim dan seumpamanya.
Tidak kurang buruknya ialah sifat yang dinamakan Ingin di Puji (Riak).Dalam apa keadaan pun mereka yang bersifat begini senantiasa ingin dipuji. Kalau tidak mendapat pujian, biasanya ia menjadi sangat marah. Di sinilah duduknya para pengampu dalam masyarakat kita, sebab ia membuat sesuatu tidak ikhlas.
Tidak berapa jauh daripada sifat Ingin di Puji ialah Cinta Pangkat (hub al-jah wa al-riyasah). Inipun satu penyakit orang tak berbudi yang juga sukar diubati. Orang yang mendokong sifat ini jauh sekali daripada ikhlas
Sahabat orang tak berbudi lainnya ialah banyak bicara (katsrah al-kalam). Sifat ini tercela kerana ia mendorong pada hal-hal yang diharamkan dan kepada hal-hal yang tidak dianjurkan. Seperti misalnya menyebut dosa mereka yang telah mati, cerita fasak perempuan, berdebat bersaing-saing, berbicara dengan gaya yang angkuh pura-pura, menhina cabul, mengutuk, mengejek, ceroboh, mencemoh, membocorkan rahsia, berdusta, memfitnah, mengumpat dan yang seumpamanya. Sesungguhnya tidak banyak yang menyedari dengan sebenar-benarnya bahawa bahaya lidah amatlah besarnya.
Senda Gurau (mizah) juga tidak mendatangkan manfat. Oleh itu lebih baik sahaja meninggalkannya. Sifat buruk lainnya ialah Berhias Kerana Makhluk (al-tazayyun lil-khalq) Para pencari kebenaran al-Khalik mengelakkan daripada melakukan perbuatan ini kerana ia menjadi penghalang, mengganggu perhatiannya daripada hanya mengingati Allah Swt. Perangai seterusnya ialah perangai buruk. Ini memang perangai yang dibenci oleh sesiapapun.
Sebagaimana yang disebutkan pada bahagian awal tulisan ini sebenarnya banyak lagi sifat-sifat tercela orang yang tak berbudi itu tetapi untuk kali ini cukuplah setakat ini dahulu. Di sebutkan secara agak terperinci sifat-sifat tercela dan sifat orang tak berbudi dalam tulisan ini bertujuan supaya yang membacanya kenal pasti apakah sifat-sifat itu berada pada dirinya. Sementara sifat-sifat terpuji pula tidak sisebutkan secara terperinci di sini. Hakikatnya yang terpuji itu, budi luhur itu adalah sifat-sifat yang berlawanan dengan sifat-sifat tercela yang disebutkan itu.
Ingatlah, Allah s.w.t berfirman (maksudnya): “Dan telah Kami (Allah) jadikan manusia dengan sebaik-baik bentuk. Kemudian Kami rendahkan ia sehina-hinanya, kecuali mereka yang beriman dan beramal salih.” (Surah Al-Thin: 95: 4-6).
Demikianlkah pentingnya budi dan pentingnya kempen “Budi Bahasa Budaya Kita” dalam kehidupan bermasyarakat, berbudaya dan bernegara bagi negara kita Malaysia.
*Kredit kpd:SUTUNG UMAR RS


Tetiba je teringat lagu "Budi Bahasa Budaya Kita" nyanyian daripada To' Ti...layannn~^___^



Tiada ulasan: